Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 14 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri Pahang dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sentiasa memantau isu bekalan air bersih di negeri ini dengan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan penduduk terjejas mendapat bekalan air dalam masa yang singkat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihak PAIP juga telah membekalkan sebanyak 1,300 tangki air di kawasan yang telah dikenalpasti mengalami masalah bekalan air di seluruh negeri ini bagi musim perayaan ini.
“Saya tidak nafikan menjelang perayaan, kita tidak dapat mengelak dari krisis air. Cuma pada kali ini krisis air lebih banyak daripada biasa mungkin disebabkan cuaca kemarau.
“Namun begitu pihak PAIP telah menyediakan bekalan sehingga 1,300 tangki air di kawasan yang mengalami masalah dan saya anggarkan ia satu angka yang sangat banyak dan ia secara tidak langsung dapat meringankan bebanan mereka yang menghadapi krisis air.
“Pihak Kerajaan Negeri dan PAIP sentiasa memantau keadaan ini supaya ianya tidak berlarutan dan berupaya mendapat bekalan dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan di sini, hari ini.
Beliau berkata beliau dimaklumkan oleh pihak PAIP, kesemua tempat yang mengalami masalah bekalan air telah pun dibekalkan dengan bekalan tangki air.
“Saya difahamkan semua kawasan dah dapat (bekalan tangki air) cuma ulangan sahaja sebab tidak ada kawasan yang daripada mula menghadapi masalah air yang tidak dapat (bekalan air) sehingga hari ini.
“Kecuali tempat tersebut berulang masalah air. Tapi tindakan akan diusahakan dari masa ke semasa,” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan bekalan air secara berhemah memandangkan musim kemarau pada masa kini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak berada di tempat yang panas kerana keadaan cuaca yang tidak begitu baik sekaligus mengelakkan dari terkena strok haba. -PAHANGMEDIA