Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhafizan
KUANTAN, 02 APRIL 2024 : Kerajaan Negeri Pahang memberikan sumbangan RM5,000 kepada enam buah sekolah sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan menjayakan Sambutan Jubli Emas Stadium Darul Makmur.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata wang sumbangan tersebut diharapkan dapat disalurkan kepada pelajar terlibat.
“Kita mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Perbadanan Stadium Darul Makmur bagi meraikan enam sekolah yang terlibat membuat persembahan semasa Sambutan Jubli Emas Stadium Darul Makmur tahun lalu.
“Seramai 420 pelajar yang terlibat dalam persembahan ini dan mereka telah membuat persembahan yang cukup gilang gemilang, menyerikan lagi majlis sambutan tersebut sehingga Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat bercemar duli ke trek dan padang stadium untuk bertemu dengan pelajar-pelajar yang buat persembahan ini.
“Dan sekolah-sekolah ini diberi sumbangan oleh Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM5,000 setiap sekolah dan saya harapkan ia akan dibelanjakan untuk pelajar yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Enam Sekolah dan Berbuka Puasa di Stadium Darul Makmur.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang amat menghargai kerja keras yang dilakukan oleh kesemua pelajar dan majlis pada hari ini adalah penghargaan kepada mereka.
“Kita juga ada bagi sedikit duit raya kepada para pelajar sebagai penghargaan kepada komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi sehingga ke hari ini,” katanya.
Enam buah sekolah terlibat adalah SMK Sultan Abu Bakar, SMK Abdul Rahman Talib, SMK Sultanah Kalsom, SM Sains Sultan Ahmad Shah, SBP Integrasi Kuantan, dan SMK (P) Methodist Kuantan. -PAHANGMEDIA

