Oleh: Fairus Mohd
ROMPIN, 3 APRIL 2024 : Program Ziarah Kasih Bekas Wakil Rakyat Negeri Pahang nyata menggembirakan bekas-bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pernah menabur jasa dan bakti kepada rakyat di negeri ini.
Bekas ADUN Tioman, Dato’ Haji Md Rusli Ismail, 69, berkata, ia merupakan satu usaha yang sangat baik terutamanya dalam menjenguk keadaan semasa bekas wakil rakyat yang masih ada.
“Bagi saya ia sangat baik, apatah lagi ada bekas wakil rakyat yang hidup dalam keadaan susah. Bukan semua yang pencen wakil rakyat hidup senang, ada juga yang memerlukan.
“Saya berharap usaha begini diteruskan selagi hayat masih ada dan kebajikan bekas-bekas ADUN juga dapat dilihat dengan jelas apabila pemimpin sekarang turun ke lapangan untuk bertanya khabar.
“Saya hargai dan berterima kasih di atas kehadiran Speaker Dewan Negeri Pahang ke rumah saya untuk bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan daripada Menteri Besar Pahang,” katanya yang berkhidmat sebagai ADUN Tioman selama lima tahun bermula tahun 2004 hingga 2008.

Dalam pada itu bekas ADUN Bukit Ibam pada tahun 2013 hingga 2018, Dato’ Wan Kadri Wan Mahusin, 69, turut rasa dihargai melalui usaha (Ziarah Kasih) yang menjadi medium mengeratkan kembali silaturahim antara mereka.
“Dulu kehidupan ketika bergelar wakil rakyat boleh dikatakan sibuk, tapi bila dah tak jadi YB hidup agak sunyi, jadi kunjungan ini sedikit sebanyak mengubati kesunyian dan ruang yang ada dapat juga berkongsi pandangan tentang pentadbiran kerajaan semasa.
“Kami juga sentiasa bersedia jika pihak pentadbiran negeri atau wakil rakyat baru hendak duduk semeja untuk bertukar pendapat, bertukar pandangan dan pengalaman. Memang tiada masalah dan sangat saya alu-alukan,” katanya.
Kedua-dua bekas ADUN menerima kunjungan YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin melalui Program Ziarah Kasih Bekas Wakil Rakyat Negeri Pahang di kediaman mereka di Kampung Telok Gading dan Kampung Pulau Lang Kiri.
Pada pertemuan tersebut Dato’ Sri Mohd Sharkar turut menyampaikan cenderahati iaitu ‘Coffee Table Book’ Dewan Negeri Pahang : Memacu Legasi Perlembagaan kepada kedua-kedua bekas ADUN di bawah Parlimen Rompin ini. -PAHANGMEDIA

