Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 27 MAC 2024 : Ketegasan Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani isu penyalahgunaan tanah kerajaan menjadi sorotan, terkini menerusi tindakan penutupan parkir Kafe Tanah Aina Fareena.
Meskipun telah enam tahun dilaporkan penyalahgunaan tanah tersebut, tindakan rasmi baru diambil baru-baru ini.
Menyahut kritikan mengenai kelambatan tindakan, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan secara berterusan.
“Sebenarnya Kerajaan Negeri ambil tindakan secara berterusan tapi tak bolehlah nak buat semua perkara dalam masa satu hari.
“Jadi, kita buat secara berperingkatlah sebab banyak. Kita pun ada kekangan petugas dan kita tahu Pahang ni luas,” katanya ketika ditemubual selepas lawatan kerja di jejambat Kemunting-Bukit Setongkol, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa usaha mengambil tindakan serentak di seluruh Pahang merupakan cabaran besar dan sebaliknya, mereka mengatur usaha secara berperingkat bagi menangani isu tersebut.
“Keputusan untuk menutup laluan masuk ke kafe tersebut adalah berdasarkan keputusan Kerajaan Negeri disebabkan penyalahgunaan tanah kerajaan untuk operasi perniagaan ataupun parking,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan adalah hasil dari perintah mahkamah.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada orang ramai supaya mengelakkan daripada menceroboh tanah kerajaan tanpa ada sebarang kelulusan dan kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara,” tambahnya.
Untuk makluman, adalah menjadi satu kesalahan mana-mana orang tanpa kebenaran yang sah menduduki atau menanam tanaman di atas tanah kerajaan atau tanah rizab dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.-PAHANGMEDIA

