Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 27 MAC 2024 : Jejambat dari Persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting bakal dibuka kepada pengguna jalan raya sebelum Aidilfitri ini, kata Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim.
Menurutnya, laluan tersebut bakal mengurangkan kesesakan aliran trafik di Jalan Persekutuan FT002 di samping memendekkan perjalanan pengguna serta penduduk di sekitar Bukit Setongkol, Cenderawasih, Indera Mahkota ke seberang Tanjung Lumpur, Sungai Soi dan kawasan berhampiran.
“Kita dari pihak Kerajaan Negeri maklum berkenaan pembukaan flyover (jejambat) ini dan hari ini saya bersama pihak JKR turun ke site untuk melihat kesediaannya. Alhamdulillah, saya tengok semuanya dah ready untuk dibuka cuma melalui proses di mana kelulusan untuk buka jalan adalah daripada Kementerian Kerja Raya.
“Saya pun dah minta pada pihak JKR membantu untuk usahakan buka flyover (jejambat) ini dalam masa terdekat, kalau boleh sebelum raya (Aidilfitri),” katanya selepas lawatan kerja ke jejambat berkenaan hari ini.
Turut sama ialah Pengurus Besar Pembinaan Unit Projek Khas Zon Timur 2 Cawangan Jalan, JKR Malaysia, Encik Shahriman Daud serta Timbalan Pengarah JKR Pahang, Ir Rosnan Hussin.
Sementara itu, Encik Shahriman Daud berkata, keputusan kebenaran dan sebagainya akan diberikan oleh agensi pemilik iaitu Kementerian Kerja Raya dan setakat ini jejambat telah sedia untuk dibuka kepada pengguna.
“Projek ini bermula pada 15 Jun 2020 dan selepas mengharungi beberapa kekangan terutamanya ketika pandemic COVID-19, ia berjaya siap dan diserahkan pada 22 Mac 2024.
“Pembukaannya nanti Insyaallah dapat mengurangkan kesesakan trafik di Bandar Kuantan, memendekkan jarak sepanjang 9 kilometer dan menjimatkan masa perjalanan sekitar 15 hingga 30 minit dari arah Bandar Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya serta dari arah Gambang ke kawasan Tanjung Lumpur,” katanya.
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM47 Juta bagi projek flyover ikonik Kemunting-Bukit Setongkol bypass ini yang bakal memendekkan perjalanan dari Indera Mahkota ke Tanjung Lumpur melalui Jambatan Kedua.
Skop pembinaan secara Reka dan Bina, melibatkan pembinaan jalan empat lorong berkembar ini dilaksanakan oleh kontraktor yang sama bagi kontrak terdahulu melalui Perjanjian Tambahan daripada pembinaan Jambatan Kedua yang menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra Tanjung Lumpur dengan keseluruhan jarak sejauh 2.5 kilometer. –PAHANGMEDIA

