Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 20 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya amalan membazir perlu dihentikan terutamanya melibatkan makanan.
Baginda bertitah pembaziran yang dilakukan sepatutnya dapat digunakan oleh orang lain ldalam bentuk infak terutamanya di bulan Ramadan ini.
“Sesuai dengan keberadaan kita di bulan Ramadan ini, suka saya mengingatkan agar jangan berterusan dalam membazir khususnya bekalan makanan.
“Sebenarnya apa yang dibazirkan itu mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperoleh ganjaran pahala,” titah baginda.

Baginda dalam titah turut menzahirkan harapan supaya masjid berkenaan dapat dijaga sebaik mungkin dan dijadikan tempat menimba ilmu.
“Kariah perlu memanfaatkan masjid yang ada ini sebaik-baiknya. Masjid perlu menjadi pusat ilmu pada setiap umat Islam. Tenaga pengajar di masjid hendaklah mengajar ilmu dan memberi kefahaman Islam yang sebenarnya kepada ahli kariah.
“Saya juga ingin mengingatkan pihak yang menguruskan masjid sama ada ahli jawatankuasa mahupun pegawai masjid hendaklah melaksanakan tadbir urus masjid dengan penuh amanah dan bertanggungjawab,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Bukit Lada dan Majlis Berbuka Puasa di masjid berkenaan.
Baginda kemudiannya telah berkenan bercemar duli memasyhurkan Masjid Kampung Bukit Lada sebagai Masjid An-Nur.
Hadir sama, YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib. -PAHANGMEDIA

