Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 JUN 2026: “Kami berasa amat bertuah apabila dipilih untuk Program Anggun Suri ini, ia sangat memudahkan urusan kami,” ujar Encik Marizwan Mohar dan pasangannya, Puan Stefti Saiful Ahmad Savaran.
Menurut Puan Stefti Saiful Ahmad Savaran, 38, beliau berasa bersyukur kerana Program Anggun Suri banyak membantunya dalam menguruskan persiapan perkahwinan, lebih-lebih lagi apabila tidak mempunyai sokongan keluarga.

“Saya tidak mempunyai ibu bapa, jadi dengan adanya program seperti ini ia dapat memudahkan kami untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.
Sementara itu, pasangannya, Encik Marizwan Mohar, 38, berkata antara kelebihan program tersebut ialah segala urusan dokumentasi dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan teratur.
“Kelebihan program ini ialah urusan dokumen dapat dilakukan dengan lebih pantas, cepat dan mudah,” ujarnya.
Manakala Encik Mohd Fadli Muhamad, 45, berkata program tersebut mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Pahang dalam usaha membantu golongan B40, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pasangan yang terlibat.

“Program seperti ini dapat meningkatkan kepercayaan rakyat kepada Kerajaan Negeri Pahang dalam memberikan bantuan kepada golongan B40 dan juga mengeratkan hubungan silaturahim antara sepuluh pasangan ini.
“… dan saya berharap program ini diteruskan dari tahun ke tahun,” katanya.
Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, YH. Dato’ Indera Haji Mustaffar Kamal Ab Hamid, objektif program tersebut adalah untuk meringankan beban pasangan muda, khususnya dalam kalangan golongan B40 yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi berdepan dengan kekangan kos perkahwinan yang semakin meningkat.
“Objektif program ini adalah untuk meringankan beban pasangan muda, khususnya dalam kalangan golongan B40 yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi berdepan dengan kekangan kos perkahwinan.
“… dan mengukuhkan institusi keluarga sebagai teras kekuatan masyarakat agar lahir generasi yang berakhlak, berilmu dan berjati diri tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2026 Parlimen Indera Mahkota, selaku wakil YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Wisma Belia Negeri Pahang, hari ini.
Seramai 10 pasangan pengantin diraikan pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Wisma Belia Negeri Pahang dan turut dihadiri oleh Penyelaras DUN Beserah, YH. Dato’ Indera Haji Mustaffar Kamal Ab Hamid. -PAHANGMEDIA

