Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 20 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menegaskan tiada masjid di negeri ini dibenarkan melaksanakan solat dua imam.
Titah baginda, ini merupakan penyakit lama yang diharamkan daripada berlaku di negeri ini dan sekiranya dikesan, pihak masjid dan pemimpin setempat akan dipertanggungjawabkan.
“Penyakit-penyakit lama harus diharamkan antaranya seperti solat dua imam, kafir mengkafir. Saya bagi amaran di sini mana-mana masjid yang membenarkan perkara ini, akan dipertanggungjawabkan. Penghulu, ADUN, akan bertanggungjawab. Saya juga akan bertanggungjawab.
“Kita nak Pahang ini menjadi negeri yang aman, sentosa, harmoni. Kalau nak berpolitik, lima tahun sekali, awak nak berpolitik, politiklah. Tapi di masjid kita kena jaga kesucian masjid,” titah baginda pada Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor di sini.
Hadir sama dan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Baginda dalam titah turut menyeru, semua pihak supaya bekerja sebagai satu pasukan dan tidak mempolitikkan perkara-perkara kecil terutamanya berkaitan bangsa dan agama.
“…terutama bangsa kita, anak kita, tak perlu kita perbesarkan. Dan jangan ada perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan rakyat.
“Jangan ikut ego kita. Saya tahu ada pemimpin yang muda nak menegakkan perwatakan dia, tapi kita semua ada darah muda juga. Yang tua buat cara tua, yang muda buat cara muda,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

