KUANTAN, 13 MAC 2024 : Kerajaan Negeri Pahang amat memandang serius mengenai soal pembangunan tanah di negeri ini agar ia dapat diuruskan dengan baik dan terancang.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pembangunan tanah ini dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri dan juga rakyat termasuk masyarakat Orang Asli, di mana menerusinya Kerajaan Negeri akan memperoleh hasil melalui kutipan cukai, manakala rakyat yang menjadi peserta pula akan memperoleh hasil menerusi pemberian dividen dan bonus.
“Kerajaan Negeri menyambut baik dan berterima kasih kepada agensi-agensi yang berjaya menguruskan tanah secara teratur dan tersusun, tetapi dalam masa yang sama juga terdapat kawasan tanah yang diuruskan tidak mengikut prosedur tanah yang ditetapkan oleh Kerajaan.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menyemak melalui Pejabat Tanah dan Galian Pahang beberapa lokasi di perkampungan Orang Asli yang diuruskan oleh RISDA sama ada projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) dan projek Tanaman Semula Komersial (TSK) perlu dikaji semula kerana terdapat berlakunya percanggahan peraturan tanah negara yang menyebabkan hasil-hasil tanah tidak dapat dikutip dengan sempurna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, beberapa siri pertemuan telah diadakan bagi merungkai isu ini agar hasil tanah dapat dilunaskan mengikut prosedur Kanun Tanah Negara.
“Namun, pihak RISDA dalam beberapa siri pertemuan mengganggap tuntutan ini satu perkara yang menyebabkan mereka ditekan. Tetapi sebenarnya Kerajaan Negeri hanya menyatakan prosedur rasmi dan tidak ada sebarang tindakan negatif dibuat,” katanya
Beliau berkata, malangnya, pihak RISDA telah menghentikan khidmat mereka di lokasi-lokasi berkenaan dengan menyangka Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan.
“Seandainya pihak RISDA tidak mahu bertanggungjawab, Kerajaan Negeri akan memastikan ladang-ladang ini diusahakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berupaya dan berpengalaman untuk menguruskannya.
“Walau bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penulasan cukai yang tertunggak akan tetap diteruskan agar ketirisan hasil tidak berlaku,” katanya. – PAHANGMEDIA

