Oleh : Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto : Radin Mohd Norhilmi
KUANTAN, 8 MAC 2024 : Peluang pembangunan profesional melalui kursus jangka pendek telah diperluaskan kepada pemandu Grab sebagai inisiatif terkini KYP Education Sdn. Bhd (KESB) untuk meningkatkan taraf pendidikan dan pembangunan karier yang lebih luas.
Pengerusi Lembaga Pengarah, KYP Education Sdn Bhd, YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza Binti Shamsuddin berkata, kursus jangka pendek ini akan berlangsung selama empat hingga enam bulan.
“Matlamat kursus ini ialah supaya kita dapat mengurangkan kadar pengangguran, kita nak bagi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda khususnya di negeri kita.
“Dalam masa yang sama mereka mestilah mempunyai kelayakan pemanduan yang profesional,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KYP Education Sdn Bhd (KESB) dan GRAB Malaysia di Grand Darul Makmur, hari ini.
Pada 2022, statistik kadar kebolehpasaran graduan KESB di bawah Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) adalah 90 peratus.
Ini adalah tanda prestasi cemerlang universiti dalam mempersiapkan graduan ke alam pekerjaan dan ia juga mampu mengekalkan kecemerlangan dan mendekatkan jurang antara institusi pendidikan dan industri.
Menurutnya, sasaran pemandu dan penghantar Grab yang akan turut serta dalam kursus jangka pendek bagi pengambilan pertama pada bulan empat ini dikatakan adalah 30 orang.
Dalam kesempatan itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang yang memberikan sokongan dalam bentuk bantuan pendidikan bagi peserta yang berkelayakan.
Sementara itu, hari ini juga dilaksanakan pelancaran program penempatan kerjaya KESB yang bertujuan mengukuhkan kebolehpasaran graduan.
“KESB mempunyai dua institusi dibawahnya iaitu Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan juga Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP),” katanya.
Majlis perjanjian menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KYP Education Sdn Bhd (KESB) dan GRAB Malaysia ini turut disaksikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut sama hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola, Universiti UCYP, Tan Sri Dato’ Sri Professor Dr. Noorul Ainur Binti Mohd Nur serta Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti, Grab Malaysia, Tuan Rashid Shukor. -PAHANGMEDIA