Oleh: Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 MAC 2024 : Kejayaan penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AAMP) dilihat mampu menjadi One Stop Centre Pengeluaran Sumber Mineral selain berperanan sebagai pusat pembelajaran dengan menawarkan program pendidikan dan latihan serta perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia juga memberi gambaran berkenaan kepentingan pendidikan formal dalam industri ini.
“Mungkin ada sasaran Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pahang ini peneraju mineral nombor satu Malaysia. Itu hasrat kita, sebab itu kita tubuh Akademi Mineral Malaysia Pahang di mana dengan adanya akademi ini, kita akan melonjak ke hadapan lagi maknanya ada pendidikan secara formal dan akan diberi perhatian khas oleh Kerajaan Negeri.
“Dengan adanya ilmu ini ianya (bahan mineral) akan dapat diuruskan dengan baik dan dapat dijadikan sebagai one-stop center. Ini sangat bersesuaian dengan negeri kita yang mempunyai banyak bahan mineral dan tujuannya ialah supaya kita dapat memberi ilmu, pengetahuan kepada pengusaha-pengusaha mineral dan orang ramai supaya mineral ini dapat diuruskan dengan baik, teratur dan ianya banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada negeri dan juga kepada negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program PRISMM 2024: Pahang Revitalizing Initiative For Sustainable Management Of Mineral Industry 2024 di Grand Darul Makmur, hari ini.
Sementara itu beliau juga menggariskan kepentingan Skim Perlombongan kecil (SPK) atau lesen yang diberikan Kerajaan Negeri kepada pemilik tanah persendirian di negeri ini untuk menjalankan aktiviti melombong secara sah.
Menurutnya, sejak skim ini diperkenalkan pada tahun 2022, sebanyak 56 lesen telah dikeluarkan kepada pengusaha di Mukim Kechau, Lipis dan ia mewujudkan situasi menang-menang kerana hasilnya bukan sahaja untuk Kerajaan Negeri malah pengusaha juga turut mendapat keuntungan melalui aktiviti perlombongan yang diusahakan secara sah di tanah milik mereka.
“Sebelum ini mungkin timbul salah tanggapan dalam kalangan masyarakat bahawa mineral berharga yang ditemui dalam tanah persendirian hak mereka sedangkan ia hak Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah, sekiranya ada mana-mana pihak yang mahu menyertai Skim Pelombong Kecil ini, mereka boleh membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri menerusi Pahang Mining Corporation, tetapi sekiranya ada mana-mana pihak yang melombong secara haram, kita akan tangkap dan dakwa mereka terus ke mahkamah,” katanya.
Dalam kesempatan itu juga, beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pahang Barat Plus yang dipimpin oleh Dato’ Arizah Hassan serta agensi-agensi lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, Pahang Mining Corporation dan Pahang Skills yang telah menganjurkan program ini.
AMMP merupakan sebahagian daripada komponen rancangan pembangunan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) yang terkandung dalam Laporan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus dan telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus pada 3 Jun 2022.
TTBL berkonsepkan pusat pembangunan bersepadu industri bernilai tinggi dengan teknologi mesra alam selain memiliki sumber manusia yang berpengetahuan serta kompeten dan selain AMMP, ia memiliki sebuah lagi komponen pembangunan iaitu pusat pemprosesan mineral di Sungai Temau. – PAHANGMEDIA