Oleh : Fairus Mohd
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 7 FEBRUARI 2024 : Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak mengambil tanggungjawab dalam memelihara ekosistem tanah lembap di Pahang.
Titah baginda, kepentingan tanah lembab atau ‘kidney of earth’ ini perlu dipertahankan dari satu generasi ke genarasi seterusnya kerana ia menyumbang kepada kepentingan kesejahteraan hidup manusia dan alam sejagat.
“Saya berbangga untuk mengakui bahawa tanah lembap di Pahang memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim di peringkat global. Tanah paya gambut Pahang Tenggara misalnya merupakan kompleks paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia.
“Oleh itu, menyedari kepentingan hutan paya gambut Pahang Tenggara sebagai tapak tanah lembap yang penting di peringkat global, saya menggesa Kerajaan Pahang mempertimbangkan untuk menjadikan hutan paya gambut Pahang Tenggara sebagai tapak Ramsar kedua bagi Pahang selepas Tasik Bera yang diiktiraf pada tahun 1994.
“Pengiktirafan itu bukan sahaja akan membawa perhatian antarabangsa kepada usaha pemuliharaan kita di Pekan tetapi juga mengukuhkan komitmen kita untuk memelihara ekosistem tanah lembap yang berharga di seluruh negeri Pahang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian penutupan Cultural Exchange Program with Aboriginal Education Centre sempena Hari Tanah Lembap Sedunia di Hotel Ancasa Pekan.
Turut hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Ketua Pegawai Eksekutif Enggang Holding Sdn Bhd, YM Tengku Dato’ Aiman Putra Tengku Kamal Bahrin, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Encik Johari Alwi dan Pengarah Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Asia Tenggara, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia, Puan Louisa Richey.
Dalam pada itu baginda bertitah sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia ini seharusnya menjadi platform untuk semua pihak mengiktiraf betapa pentingnya langkah proaktif diambil oleh Kerajaan Pahang, sektor swasta, masyarakat awam dan masyarakat Orang Asli.
Menurut baginda, tanah lembap di Pahang adalah ekosistem luar biasa yang menyediakan air tawar dan makanan kepada rakyat pahang, menyokong kehidupan Orang Asli khususnya dari masyarakat Semelai dan Jakun yang tinggal dan bekerja dalam ekosistem ini.
“Keupayaannya untuk mengasingkan karbon, mengurangkan risiko jika banjir dan bertindak sebagai penampan terhadap cuaca ekstrem adalah penting untuk membina komuniti tempatan yang berdaya tahan.
“Sebagai takungan biodiversiti, tanah lembap Pahang meningkatkan kualiti air, menyimpan karbon dan melindungi daripada banjir dan kemarau di seluruh negeri,” titah baginda.
Tegas baginda, tidak cukup jika hanya mengakui kepentingan tanah lembap secara teori, tetapi pemahamannya mesti diterjemahkan dalam tindakan nyata oleh semua pihak berkepentingan.
“Realitinya, tanah lembap kita semakin berkurangan dengan cepat akibat kesan tangan manusia selain diburukkan lagi dengan krisis iklim dan peningkatan kehilangan biodiversiti, sekaligus menyumbang kepada krisis air dan mengancam keselamatan makanan dan mata pencarian masyarakat tempatan di negeri kita.
“Oleh itu, adalah penting bagi Kerajaan Pahang, sektor swasta, dan masyarakat sivil bekerjasama dengan masyarakat tempatan dan Orang Asli untuk melindungi tanah lembap Pahang dengan menggalakkan bukan sahaja pemulihan dan pemuliharaan, tetapi juga amalan pertanian yang inklusif dan mampan digabungkan dengan pengetahuan tempatan, tradisi dan budaya,” titah baginda. -PAHANGMEDIA