Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 FEBRUARI 2024 : Pembayaran Bantuan Khas Kewangan oleh Kerajaan Negeri Pahang akan dikreditkan ke akaun penerima secara one-off pada 20 Februari ini.
Menurut kenyataan media oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, jumlah keseluruhan peruntukan kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini ialah RM39.6 juta.
“Seperti mana yang telah diumumkan pada Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2024 pada 4 Disember 2023 yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan setengah dengan minima RM2,000 kepada kira-kira 8,000 penjawat awam Negeri Pahang.
“Untuk itu, sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat pada hari ini telah bersetuju agar pembayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan dikreditkan ke akaun penerima secara one-off pada 20 Februari 2024 iaitu pada hari Selasa.
Beliau turut melahirkan harapan supaya penjawat awam di negeri ini yang menerima Bantuan Khas Kewangan ini supaya menggunakannya dengan bijak dan berhemah.
“Oleh itu, saya berharap agar semua penjawat awam Negeri Pahang berbelanjalah secara bijak dan jangan sesekali gunakan wang yang kita ada itu ke arah yang boros dan merugikan.
“Semoga menerusi pembayaran Bantuan Khas Kewangan ini, penjawat awam Negeri Pahang akan lebih bersemangat untuk melaksanakan setiap tugas yang telah diamanahkan bagi memastikan pengurusan Kerajaan Negeri Pahang menjadi lebih dinamik, mampan serta berdaya saing,” katanya. -PAHANGMEDIA