Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 07 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menghargai sumbangan yang diberikan Petronas kepada 40 penerima daripada golongan memerlukan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata sumbangan yang disampaikan Program Yayasan PETRONAS Memacu Kehidupan Tahun Baru Cina 2024 ini dapat mengurangkan beban penerima untuk menyambut perayaan.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Petronas kerana telah menyumbangkan sumbangan untuk Tahun Baru Cina ini, di mana ia boleh mengurangkan sedikit bebanan kepada penerima bagi menyambut perayaan.
“Seramai 40 penerima di sini menerima bantuan daripada Yayasan Petronas iaitu mereka daripada golongan B40, mengalami masalah kesihatan, dan warga emas yang dipilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Yayasan PETRONAS Memacu Kehidupan Tahun Baru Cina 2024 di Dewan Orang Ramai Mengkarak Stesen, Guai di sini, semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli; Ketua Penolong Pegawai Daerah Bera, Puan Noor Azura Md Daud;Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Bera, Puan Suriani Manaf; dan Ketua Polis Daerah Bera, Supt. Zulkiflee Nazir.
Beliau berkata sebanyak 100 penerima di Negeri Pahang menerima sumbangan Tahun Baru Cina 2024 daripada Petronas melibatkan Bera, Kuantan, dan Lipis.
“Negeri Pahang, sumbangan diberikan kepada 100 penerima di tiga dearah iaitu di Bera, Kuantan dan Lipis. Sementara itu sumbangan turut diagihkan kepada 2,150 penerima di 13 buah negeri dan 2 wilayah persekutuan di seluruh Malaysia.
“Kita berasa bertuah dengan adanya syarikat seperti PETRONAS yang bukan sahaja telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan di dalam dan luar negara, tetapi juga komited memberi sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat.
“Saya berharap, semoga usaha yang PETRONAS laksanakan ini dapat membantu meringankan beban dan kesulitan mereka yang
memerlukan di samping mengeratkan lagi hubungan PETRONAS dan para kakitangannya dengan masyarakat setempat,” katanya. – PAHANGMEDIA