Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 03 FEBRUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bercadang menjadikan himpunan pendekar bersama pengamal seni bela diri di negeri ini sebagai acara tahunan.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ini dapat dilihat melalui sambutan yang ditunjukkan pengamal seni bela diri pada program Himpunan Pendekar Pahang.
“Sejujurnya saya rasa bersemangat melihat anak sekecil 5 tahun boleh persembahkan satu kekuatan seni pertahankan diri yang cukup hebat.

“Dan saya bercadang nak jadikan ini acara tahunan dan mungkin selepas ini daerah lain pula kita akan bawakan semangat dan aura ini di seluruh Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Himpunan Pendekar Pahang dan Tayangan Pagari Bulan di Dataran Sayangi Kuantan.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Mohd Shakar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man.
Menurut beliau, cadangan ini juga disambut baik oleh tenaga pengajar seni berkenaan yang menyatakan akan memberikan sokongan penuh selepas ini.
“Tadi pun saya sempat bersembang dengan mahaguru yang hadir, mereka kata di mana sahaja buat (program) kita akan datang support. Jadi inilah semangat yang saya dapat rasai,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Karnival Rakyat Pahang sempena sambutan keberangkatan balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ke Negeri Pahang sehingga Ahad. -PAHANGMEDIA

