Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 JANUARI 2024 : Dua ekor gajah bernama Alam dan Sanum mengiringi istiadat keberangkatan balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ke Negeri Pahang hari ini.
Dua ekor gajah yang didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Lanchang tersebut mengiringi kenderaan yang membawa Seri Paduka Baginda berdua bermula dari persimpangan Jalan Dato Abu Samah sehingga ke persimpangan Dewan Jubli Perak Haji Sultan Ahmad Shah.
Gajah jantan yang bernama Alam berusia 26 tahun dan Sanum yang merupakan gajah betina berusia 19 tahun ini merupakan salah satu daripada gajah denak di pusat konservasi berkenaan.
Sebelum itu, perarakan kenderaan yang membawa Seri Paduka Baginda berdua telah diringi 16 ekor kuda bermula dari Kompleks Teruntum sehingga ke Pejabat Pos Besar sejauh 1.2 kilometer.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah kemudiannya disambut dengan persembahan tetuang serta paluan gong dan Gendang, sebelum diikuti petunjukkan seni silat daripada Akademi Silat Al-Jufferi.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut mempersembahkan ucapan sebelum bermula majlis santapan dan majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu tradisonal serta persembahan tarian. – PAHANGMEDIA

