Oleh : Amalina Aminuddin
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 JANUARI 2024 : Pelaksanaan pembinaan Jambatan Konkrit di Seksyen 2.8, Jalan Perwira Jaya – Selancar (FT2490) Rompin dijangka bermula awal tahun hadapan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek penggantian pembentung yang runtuh dan roboh itu kepada jambatan konkrit baru diluluskan oleh pihak Kementerian Ekonomi kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KRR) di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP4, RMKe-12).
“Pihak JKR Malaysia adalah Head of Project Team (HOPT) untuk pelaksanaan projek ini yang dalam proses semakan brif dan skop sebelum kerja pelantikan juruukur tanah dan penyiasatan tanah dibuat bagi penyediaan rekabentuk.
“Ia dijangka akan ditender pada akhir tahun 2024 dan kerja-kerja pembinaan di tapak bermula pada tahun 2025 manakala anggaran untuk siap sepenuhnya memakan masa dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam satu sidang media khas, hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, tender dan proses untuk siap tertakluk kepada kelulusan peruntukan dan banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuk kajian kawasan yang terbabit dan sebagainya.
“Disebabkan semua perkara yang diambil secara terperinci itulah yang membuatkan ia memakan masa. Kita perlu teliti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kelak.
“Peruntukan telah disediakan sebanyak RM15.9 juta dan berharap segala permasalahan berlaku dapat diatasi dengan baik dalam tempoh yang sewajarnya.
“Pengguna jalan raya bolehlah merujuk portal rasmi dan media sosial jabatan untuk sebarang maklumat terkini selain sidang media khas yang diadakan ini bagi memberi penjelasan kepada sesetengah pihak yang sentiasa tertanya berkenaan dengan status terkini pembinaan jambatan,” katanya. – PAHANG MEDIA

