Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 17 JANUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menjangkakan masalah bekalan air yang mengganggu penduduk Kampung Jeram Besu dapat diselesaikan dalam tempoh setahun setengah dengan pembinaan laluan paip yang baharu.
Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ia merupakan penyelesaian jangka masa panjang kepada penduduk terjejas.
“Untuk jangka masa panjang dapat siap dalam setahun setengah lagi laluan paip baru ini dari Tangki Cendera ke Ulu Atok, Jeram Besu serta ke Batu Buaya. Itu akan ambil masa (untuk disiapkan).
“Langkah sementara atau interim,pertama tukar valve (250mm di jajaran paip), dan kedua, bekalkan setiap rumah yang terkesan ini dengan tangki (statik) dan penuhkan tangki dengan bekalan air yang mencukupi.

“Kerajaan Negeri memandang serius isu ini dan saya dah berbincang dengan Jurutera Daerah untuk ambil langkah segera,” katanya.
Beliau turut meminta pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Raub untuk menyalurkan bekalan air ke tangki-tangki statik sementara yang disediakan di kediaman penduduk terjejas setiap hari.
“Saya juga minta setiap hari PAIP Raub datang Jeram Besu ini, isi dan penuhkan tangki penduduk Jeram Besu ini.
“Saya minta jasa baik PAIP untuk tambah dan bagi perkhidmatan setiap hari kepada penduduk di sini. Sebelum ini air disalurkan bergantung kepada aduan yang diterima pihak PAIP sahaja,” katanya.
Sebanyak 138 rumah dianggarkan terjejas dengan masalah bekalan air di Kampung Jeram Besu ini khususnya di Kampung Tedung dan Empang Cina.
YB. Fadzli dalam lawatannya telah meninjau rumah pam, kawasan pembinaan laluan paip baharu, serta beberapa rumah penduduk terjejas di sekitar Kampung Jeram Besu bersama Pengurus PAIP Raub, Encik Mohd Fadzli Ibrahim. -PAHANGMEDIA

