Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 JANUARI 2024 : Gabungan Sukarelawan Pahang dan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) membantah usaha penutupan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan gabungan, universiti yang telah hampir 20 tahun beroperasi sejak 2001 ini merupakan antara nadi utama dalam menghidupkan sosio-ekonomi bandar Muadzam Shah.
“Buat pengetahuan, bandar ini yang diinspirasikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk menjadi sebuah bandar pendidikan yang memiliki pentadbirannya sendiri, sangat membantu dalam pertumbuhan pembangunan dan taraf hidup masyarakat setempat di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan.
“Sejak 2001 Kampus ini telah melahirkan 7,600 graduan, yang kini telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan lokaliti sesebuah kawasan.
“Justeru itu, sebarang usaha tersirat dan halus untuk penutupan kampus UNITEN sudah tentu akan memberi impak yang besar kepada komuniti setempat sekali gus merencatkan kerancakan pembangunan Muadzam Shah menjadi sebuah Bandar Hub Pendidikan,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, menurut MBNP, isu penutupan universiti yang telah mula kedengaran sejak tahun 2019 ini membangkitkan ketidakpuasan banyak pihak.
“Difahamkan jumlah pelajar di universiti ini juga semakin berkurangan daripada 4,000 orang pelajar kepada lebih kurang 800 orang sahaja pada masa kini, menyebabkan kita boleh membuat andaian bahawa UNITEN kampus Muadzam Shah dilihat sudah tidak mampu menampung kos operasinya lagi.
“Malah, dikhabarkan juga bahawa kursus Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan yang ditawarkan di kampus Muadzam Shah turut sama ditawarkan di kampus Bangi bermula akhir tahun lalu yang secara jelas mereka cuba memindahkan kursus-kursus yang ada di Muadzam Shah ke Bangi secara perlahan-lahan sehinggalah tiada lagi pelajar yang ditawarkan belajar di kampus ini menyebabkan kampus Muadzam Shah ini terpaksa ditutup.
“Oleh itu isu penutupan UNITEN Muadzam Shah ini bukanlah satu isu baru tetapi ia dilihat seolah-oleh telah lama dirancang tetapi digagalkan oleh banyak pihak termasuklah Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan berkenaan.
Tambah MBNP, sebarang usaha penutupan kampus Muadzam Shah perlu dikaji semula sepertimana dinyatakan oleh YAB. Menteri Besar Pahang demi kebaikan semua pihak.
“Namun isu ini tidak harus dilihat dari sudut keuntungan dan operasi semata mata, sebaliknya satu tanggungjawab sosial untuk masyarakat sekitar di daerah Muadzam Shah.
“Penutupan UNITEN cawangan Muadzam Shah juga mampu memberikan kesan kepada belia Pahang. Sekiranya mereka selama ini tidak perlu keluar dari negeri, mungkin selepas ini mereka terpaksa berhijrah ke negeri lain dan pastinya meningkat kos saraan pelajar berkenaan.
“Oleh hal yang demikian, MBNP memohon pihak UNITEN untuk memikirkan sedalam dalamnya pertimbangan untuk menutup cawangan Muadzam Shah, sebaliknya menggunakan cawangan yang sedia ada untuk diperkasakan dan dipertingkatkan mutunya,” katanya. -PAHANGMEDIA

