Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 JANUARI 2024 : Seramai 36 imam daripada 14 wilayah dari China menyertai lawatan pengenalan pelancongan Mesra Muslim di negeri ini selama seminggu bermula 10 Januari.
Menurut kenyatan media oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man menerusi Tourism Pahang, destinasi pelancongan mesra muslim ini merupakan salah satu pakej pelancongan yang ditawarkan Kerajaan Pahang.
“Lawatan pengenalan pelancongan Mesra Muslim dengan tema ‘Imam Fam Trip: Discover Muslim-Friendly Malaysia’ bermula 10 hingga 16 Januari 2024, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan Malaysia khususnya dalam kalangan Muslim dari negara ini. Lawatan ini turut melibatkan destinasi pelancongan di Negeri Pahang iaitu di daerah Bentong.
“Kerajaan Negeri telah bersedia untuk menawarkan pelbagai destinasi pelancongan mesra muslim yang sediada dan baru di negeri ini. Komitmen Kerajaan Negeri dalam menjadikan Negeri ini sebagai hub terkemuka bagi pelancongan mesra muslim dapat diterjemahkan melalui penawaran kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan muslim itu sendiri,” katanya.
Menurut beliau, pelancongan muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dan negeri Pahang menawarkan destinasi pelancongan mesra muslim antara terbaik di negara ini.
“Pelancongan muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam dianggarkan mencecah 2 bilion di seluruh dunia.
“Nilai pasaran pelancongan Muslim di seluruh dunia mencapai kira-kira USD 194 bilion dan akan terus berkembang dan mencapai USD 300 bilion pada tahun 2026.
“Negeri Pahang menawarkan destinasi pelancongan mesra muslim antara terbaik di negara ini antaranya di Daerah Kuantan sendiri iaitu merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 4 bersebelahan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1,” katanya.
Menurut beliau, negeri Pahang juga terkenal dengan kepelbagaian hidangan halal dari pelbagai budaya dan tradisi yang dapat menarik minat pelancong muslim.
“Data menunjukkan bahawa negeri Pahang memiliki lebih daripada 5,000 restoran dan kedai makanan halal.
“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Jakim dan badan pengesahan halal bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian halal dalam industri makanan dan minuman bagi memberikan keyakinan kepada pelancong muslim tentang keaslian dan halalnya makanan mereka.
“Negeri Pahang mempunyai potensi yang besar untuk terus menerajui pelancongan mesra Muslim. Dengan memperkasakan kemudahan, meningkatkan infrastruktur pelancongan, meningkatkan promosi, dan meningkatkan perkhidmatan serta produk pelancongan, Negeri Pahang dapat terus menarik minat pelancong Muslim dari seluruh dunia. Keunikan budaya, warisan, sejarah, seni bina, keindahan alam semula jadi, dan kemudahan pelancongan yang tersedia menjadikan negeri ini sebagai destinasi yang tidak dapat dilepaskan bagi pelancong Muslim yang ingin mengalami pengalaman pelancongan yang terindah,” katanya. -PAHANGMEDIA

