Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
RAUB, 4 JANUARI 2024 : Seramai 1.1 juta rakyat negeri Pahang berusia 18 tahun ke atas diminta agar mengisi Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan mereka tidak tercicir menerima sebarang bantuan dan manfaat yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan diskusi di platform media sosial yang menidakkan kemampuan sistem yang diwujudkan bagi mengumpul data kira-kira 33 juta rakyat di negara ini.
“Sistem ini sudah cukup bersepadu kerana melibatkan semua agensi dan jabatan kerajaan, pihak berkepentingan, GLC dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Sudah tentu peringkat awal ada perkara yang boleh diperbaiki, tapi apa yang penting hasrat untuk pastikan Malaysia mempunyai data rakyat yang serba lengkap agar bantuan-bantuan yang disalurkan tepat kepada golongan sasaran, mengelakkan pertindihan bantuan serta dapat menyelesaikan ketirisan subsidi yang ingin diberikan kepada golongan layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri sesi taklimat Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia Pahang di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Krau 1, di sini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Pahang, Encik Razaman Ridzuan, Pegawai Daerah Raub, Tuan Khuzaidi Harun serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Pahang, Encik Shahrizal Husin.
Dalam pada itu YB Fadzli berkata, bagi menggalakkan rakyat di negeri ini mendaftar di sistem berkenaan, beliau mencadangkan penggunaan 111 buah PEDi di seluruh negeri Pahang.
“Setakat ini setiap daerah ada sebuah PEDi yang berfungsi sebagai tempat untuk masyarakat setempat datang mendaftar serta mendapatkan sebarang maklumat atau penjelasan berkenaan PADU.
“Sistem ini baru sahaja dilancarkan jadi saya difahamkan borang untuk diisi secara manual belum sampai di pejabat Penghulu setiap kawasan. Bagi mereka yang mempunyai telefon bimbit boleh terus akses dan isi maklumat di PADU,” katanya.
Pihaknya juga turut mempertimbangkan cadangan bagi melibatkan beberapa NGO bagi membantu rakyat di kawasan pedalaman termasuk di perkampungan Orang Asli mengisi data masing-masing.
Cadangan berkenaan bagaimanapun akan dibawa ke peringkat negeri pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri minggu hadapan dan sebarang langkah atau usaha berkaitan akan dimaklumkan kemudian.
Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan satu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.
Ia akan menjadi satu pangkalan data komprehensif seterusnya menjadi pemudah cara dalam usaha kerajaan melaksanakan intervensi berasaskan bukti. -PAHANGMEDIA

