KUANTAN, 5 JANUARI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu lalu bersetuju untuk mewujudkan Man and Biosphere (MAB) Mossy Forest di Cameron Highlands.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan MAB Mossy Forest bertujuan untuk memulihara kepelbagaian biologi dan mempromosikan pembangunan lestari.
“Ia melibatkan 13 buah Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 4,963.57 hektar dan sebahagian tanah Kerajaan serta tanah milik seluas 3,398.93 hektar di Mukim Ulu Telom dan Mukim Tanah Rata, Cameron Highlands.

“MAB ini berfungsi sebagai model untuk penggabungan pemuliharaan dan pembangunan, dan menyediakan rangka kerja kepada komuniti tempatan bagi mengembangkan dan melaksanakan strategi pembangunan ekonomi serta melindungi sumber semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, penubuhan berkenaan adalah selaras dengan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia: Transformasi ke Arah Ekonomi Berasas Khazanah yang menggariskan hasrat pelaksanaan pembangunan sumber berasaskan pengiktirafan tapak atau kawasan sebagai warisan sejagat.
“Melalui penubuhan MAB ini, Kerajaan Negeri akan dapat mendidik serta meningkatkan pemahaman orang awam tentang kepentingan pemeliharaan ekologi dan pengurusan sumber secara lestari.
“Pengetahuan ini kemudiannya akan digunakan untuk membangun dan melaksanakan strategi pemuliharaan dan pengurusan yang memberi faedah kepada manusia dan alam sekitar,” katanya. -PAHANGMEDIA

