Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menerusi Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) sangat mengambil berat terhadap pendidikan Orang Asli dengan menyediakan pelbagai peluang dan insentif kepada masyarakat itu bagi memastikan lonjakan dalam bidang akademik.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, ini dapat dilihat apabila pelbagai peruntukan khas diberikan kepada Orang Asli bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menikmati hasil negeri terutama anak muda Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
“Saya tengok kemajuan atau peningkatan Orang Asli dalam bidang pendidikan semakin bertambah dan dengan usaha-usaha sebelum ini oleh pihak kerajaan melalui JAKOA dan kita di Negeri Pahang ini. Alhamdulillah YAB Menteri Besar memberi fokus yang lebih lagi.
“YAB Menteri Besar ingin melihat bahawa taraf pendidikan dan kemajuan Orang Asli ini lebih cepat kerana itulah Kerajaan Negeri memperuntukkan satu jumlah yang besar dalam pendidikan ini untuk masyarakat Orang Asli sebagai contohnya untuk Pemberian Komputer Riba ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM750,000 untuk bagi komputer kepada semua pelajar-pelajar Orang Asli yang berjaya memasuki universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Komputer Riba Pahang Pride Orang Asli Dan Insentif Perkahwinan Pertama Orang Asli Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Tan Sri Jamaluddin Jarjis, UNITEN di Muadzam Shah, Rompin.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, YBrs Encik Johari Alwi, Ahli Dewan Negara, Senator Tuan Manolan Mohamad, Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ajis Sitin, Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli Pejabat Menteri Besar Pahang, YBrs Encik Adam Zaidi Mahidin, Pengarah UNITEN Muadzam Shah, YBrs Puan Nurazariah Abidin dan pemimpin setempat.
Pada majlis itu seramai 61 siswa dan siswi Orang Asli telah menerima Komputer Riba Pahang Pride Orang Asli dan 37 pasangan yang baharu berkahwin turut menerima insentif Perkahwinan Kali Pertama Orang Asli.
Majils tersebut telah menghimpun penerima dari daerah Rompin, Pekan, Kuantan, Maran dan Bera. – PAHANGMEDIA