Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 DISEMBER 2023 : Agensi Kerajaan diingatkan supaya tidak boleh berada dalam keadaan selesa dan perlu sentiasa memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul daripada semua aspek.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana orang ramai meletakkan jangkaan yang tinggi kepada perkhidmatan oleh jabatan kerajaan.
“Kita semua tahu bahawa harapan rakyat terhadap kita sangat tinggi, ekspetasi. Seperti mana kita, kalau kita hantar anak-anak ke sekolah, kita pun mempunyai expectation yang tinggi terhadap sekolah tersebut. Sama juga dengan kita.
“Jadi sebab itu, kita tidak boleh kekal dengan status quo, kita kena sentiasa berubah ke arah yang lebih baik. Walaupun kita dah baik, cekap, pentadbiran semua, penguatkuasaan, peningkatan hasil, penyampaian awam dan sebagainya tetapi kita tidak boleh kekal dengan status quo.
“Ini kerana tuntutan masyarakat semakin hari semakin bertambah dan kerja kita pun semakin hari semakin complicated berbanding dengan dulu. Jadi organisasi kerajaan seperti kita perlu memastikan pembudayaan kerja yang cemerlang dalam semua aspek perlu dilaksanakan di semua peringkat dan juga warga kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pahang 1st Tahun 2023 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir, YB. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; dan YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.
Menurut beliau, penjawat awam merupakan penggerak utama bagi merealisasikan aspirasi, visi dan perancangan yang digariskan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Dan menerusi anugerah ini, setiap jabatan dan agensi kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan perkhidmatan masing-masing ke tahap yang lebih cemerlang, sekaligus meletakkan Pahang sebagai antara negeri terbaik dalam aspek penyampaian perkhidmatan awam di negara ini.
“Penjawat awam merupakan penggerak utama aspirasi, visi dan perancangan Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan Negeri memerlukan perkhidmatan awam yang inovatif, berdaya saing dan sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan, selain tidak lupa untuk berpegang kepada aspirasi merakyatkan perkhidmatan awam.
“Dalam memenuhi aspirasi tersebut, organisasi kerajaan perlu sentiasa memastikan pembudayaan kerja yang cemerlang dalam pelbagai aspek perlu dilaksanakan di semua peringkat dan warga kerja. Saya percaya, hasrat ini mampu dicapai berdasarkan kejayaan demi kejayaan yang telah diraih terutamanya dalam tempoh 5 tahun sebelum ini,” katanya.
Sebanyak 34 agensi telah menerima anugerah pada majlis Anugerah Pahang 1st 2023 melibatkan Anugerah YAB. Menteri Besar Pahang; Anugerah Produktiviti, Anugerah Transformasi Digital; Anugerah Perkhidmatan; dan Anugerah Khas. -PAHANGMEDIA