Oleh: Fairus Mohd
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 16 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi Program Berkhatan Anak Pahang melibatkan kira-kira 3,500 orang kanak-kanak di seluruh negeri pada tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program ini akan diteruskan pada tahun hadapan di mana jumlah peruntukan sama telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini.

“Ia dilakukan secara berperingkat di mana kita berharap agar usaha ini dapat sedikit sebanyak ringankan beban rakyat. Kita tahu kos untuk perkhidmatan berkhatan di klinik-klinik swasta agak tinggi iaitu lebih kurang RM150.
“Jadi dengan adanya pembiayaan daripada Kerajaan Negeri Pahang ini, saya harap beban ibu bapa lebih ringan dari segi perbelanjaan untuk berkhatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Berkhatan Anak Pahang peringkat Negeri Pahang di Dataran Masjid Sungai Koyan, di sini.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Mohd Noor dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Sementara itu beliau berkata, kanak-kanak yang terpilih terdiri daripada keluarga B40 yang telah dikenalpasti dan layak untuk menyertai program berkhatan percuma ini.
“Pemilihan kanak-kanak ini diuruskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah, Pengerusi JKKK, Penghulu serta ketua komuniti yang mempunyai data penduduk.
“Kita tekankan aspek keselamatan, keselesaan dan segala keperluan berkaitan termasuk penyediaan pasukan perubatan yang tak boleh diambil ringan,” katanya. – PAHANGMEDIA

