Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 DISEMBER 2023 : Usaha penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Negeri Pahang yang mengurangkan hutang Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM2.074 bilion telah dimulakan sejak 5 September 2018.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perbincangan tawaran oleh Kerajaan Persekutuan tersebut dilakukan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, dan menteri pada ketika itu, YB. Dr. Xavier Jayakumar.
“Saya ingin menjelaskan kenyataan Yang Berhormat Cheka sewaktu meminta laluan ketika ucapan penggulungan Exco Kerja Raya,
Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang pada Rabu lalu, berhubung penghapusan hutang Kerajaan Negeri sebanyak
RM2.074 bilion.
“Yang sebenarnya, usaha Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang telah bermula sejak 5 September 2018 lagi, di mana pada ketika itu, saya telah bersetuju untuk memulakan semula perbincangan tawaran Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan menterinya pada ketika itu ialah YB. Dr. Xavier Jayakumar.
“Tujuan saya menceritakan ini semua kerana saya harus dan wajib menceritakan fakta kerana kita tidak mahu persepsi mengatasi fakta. Pada 2018, menteri ketika itu, YB. Dr. Xavier dan saya bersama-sama rakan pegawai Kerajaan (Negeri) telah juga berjumpa dengan Menteri Kewangan kerana beliau terlibat secara langsung dalam memastikan pelupusan hutang Kerajaan Negeri ini kena mendapat kebenaran YB. Menteri Kewangan selain YAB. Perdana Menteri untuk dibawa ke kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkaitan penghapusan hutang Kerajaan Negeri sebanyak RM2.074 bilion semasa ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, hapus kira Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah dimuktamadkan pada 29 September 2019 sebelum dikemaskini dan dimuktamadkan kembali pada 30 Mac 2020.
“Kemudiannya, pada 29 September 2019, Hapus kira hutang Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang diluluskan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah dimuktamadkan.
“Dan untuk merealisasikan tujuan ini, Kerajaan Negeri ketika itu telah menubuhkan satu pasukan Task Force bagi merunding dan menguruskan langkah-langkah penstrukturan kerana ini bukan perkara yang mudah untuk mengurangkan hutang Kerajaan Negeri dan untuk Kerajaan menghapuskira bukan satu perkara mudah. Walaupun 1 sen.
“Pada 30 Mac 2020 iaitu ketika Yang Berhormat Cheka baru sahaja menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air, semua draf perjanjian dikemaskini dan dimuktamadkan berdasarkan terma-terma utama yang telah dipersetujuan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang, termasuk juga jumlah yang setuju dihapuskira dan dinovasikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.074 bilion,” katanya.
Beliau berkata untuk mengatakan bahawa segala usaha bagi menghapuskira hutang berkenaan dilakukan oleh ADUN Cheka semasa memegang jawatan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air adalah tidak benar sama sekali.
“Walau bagaimana pun saya ingin mengucapkan terima kasih kerana YB. Cheka ketika itu selaku menteri telahpun meluluskan ataupun menurunkan tandatangan. Maknanya kalau main bola, dia tolong tendang bola masuk gol.
“Untuk mengatakan ianya bermula daripada A sampai Z, YB. daripada Cheka membantu adalah tidak benar sama sekali. Cuma YB. Cheka melengkapkan sahaja apa yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. -PAHANGMEDIA

