Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 8 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat di negeri ini memiliki tanah sendiri malah menyasarkan sekurang-kurangnya satu juta hak pemilikan tanah bagi tempoh tiga hingga empat akan datang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini jumlah hak milik tanah di Negeri Pahang adalah sebanyak 742,387 hakmilik.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah menerusi Skim Tanah Rakyat (STR) serta pemberian Suratan Hak Milik kepada peneroka FELDA. Malah langkah ‘serampang dua mata’ ini bertujuan untuk meningkatkan bilangan pemilikan tanah serta meningkatkan kutipan hasil tanah.
“Semenjak saya dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada Mei 2018 sehingga ke hari ini, sebanyak 69,451 pemberi milikan tanah telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya kepada Pengarah Tanah dan Galian Pahang yang telah mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Tanah Pahang di semua daerah bermula bulan Julai sehingga Oktober 2023 lalu.
“Menerusi karnival ini sahaja sebanyak RM258.753 juta berjaya dikutip selain mendidik pemilik tanah untuk lebih bertanggungjawab menunaikan kewajipan masing-masing dengan membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun.
“Insya-Allah melihat kepada keberkesanannya, Karnival Tanah Pahang akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dan diharapkan dengan adanya inisiatif dan program yang telah direalisasikan, rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya. -PAHANGMEDIA

