Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2023 : Hanya 9.6 peratus pekebun di Cameron Highlands memperoleh persijilan MyGap daripada keseluruhan 2,293 pekebun yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, jumlah tersebut masih rendah memandangkan Cemeron Highlands merupakan pembekal sayuran ke seluruh Malaysia dengan jumlah 40 peratus.
“Jumlahnya (peroleh persijilan MyGap) ialah 221 dengan kurang daripada 10 peratus iaitu 9.6 peratus daripada semua petani atau peladang yang berdaftar tadi, (jumlah ini) tidak sampai 10 peratus mendapat sijil MyGap iaitu Sijil Amalan Pertanian Yang Baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar galakan dapat diberikan kepada pekebun-pekebun di Cameron Highlands bagi mendapatkan pelbagai insentif oleh pihak kerajaan.
“Antara insentif yang diberikan kepada penerima sijil MyGap termasuklah peralatan pemasaran seperti penimbang digital, rak bertingkat dan papan tanda projek yang telah mendapat persijilan MyGap. Peserta juga diberi kursus bagi meningkatkan kemahiran dari masa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tempoh 2020 hingga 2023 seramai 62 pekebun telah menerima persijilan MyGap.
Beliau menyifatkan persijilan MyGap ini bukan sahaja mendapat pelbagai manfaat daripada kerajaan tetapi turut memberi keyakinan kepada pengguna khususnya pembeli sayuran segar dari Cameron Highlands. – PAHANGMEDIA