Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2023 : Sebanyak 93 daripada 217 Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1 2021-2026 telah siap dibina setakat September lalu.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan, 37 projek iaitu 17.05 peratus dalam proses pembinaan dan pra pembinaan iaitu 87 projek, lebih kurang 40 peratus.
“Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi menjayakan dan menyiapkan projok-projek bekalan air di seluruh Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu berkenaan peratusan kemajuan projek bekalan air di seluruh Negeri Pahang sehingga bulan September 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambah beliau, pihak PAIP juga telah memperuntukan RM17.8 juta bagi melaksanakan sistem bekalan air di kawasan Batu Hitam, Beserah.
“Berkaitan bagi Sistem Bekalan Air Batu Hitam, Berserah, Kuantan merupakan projek yang akan dilaksanakan di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Kos projek ini adalah sebanyak RM17.8 juta.
“Projek ini dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah terputus bekalan dan tekanan air rendah di kawasan Kampung Darat Sekolah, Kampung Jeram, Kampung Bukit Gelugor dan Taman Batu Hitam yang melibatkan 3,900 akaun pengguna.
“Status semasa projek ini adalah di peringkat lantikan perunding yang akan dilaksanakan oleh pihak PAAB dan projek ini dijangka bermula pada pertengahan tahun 2024 serta dijangka siap pada akhir tahun 2025,” katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada YB. Tuan Haji Andansura berkenaan peratusan siap projek bekalan air yang disifatkan masih rendah, beliau berkata sebanyak 17 projek telah disiapkan pada tahun ini sahaja.
“Tahun ini sahaja kita telah menyiapkan 17 projek dengan kos RM73,988,104 dan asalah air ini kita akan address setiap masa dan kita akan cuba percepatkan walaupun sasaran kita menjelang akhir 2026, 90 peratus masalah air di negeri ini akan dapat diselesaikan,” katanya. – PAHANGMEDIA