Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang berusaha mempertingkatkan kemudahan fasiliti sukan di negeri ini dengan melaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan jumlah keseluruhan RM1.198 juta.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerja-kerja naiktaraf tersebut membabitkan lapang sasar menembak SUKPA, menaik taraf kemudahan asrama SUKPA dan pembinaan ‘dry gym’ pasukan terjun.
“Selain itu Majlis Sukan Pahang (MSP) turut mengenalpasti dua fasiliti yang bakal dinaik taraf pada tahun depan iaitu Pusat Latihan Layaran Balok dan Pusat Latihan Muay Thai di Jerantut dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah hampir RM300,000.
“Salah satu infrastruktur sukan lain yang perlu dibaikpulih selepas ini ialah Sekolah Sukan Pahang Seberang Temerloh yang terbukti berjaya melahirkan ramai atlet-atlet Pahang yang berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sabai, YB. Tuan V Arumugam Veerappa Pillai pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata, selain daripada itu, Kerajaan Negeri Pahang melalui MSP turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu penubuhan Tabung Pembangunan Sukan Pahang yang merupakan satu langkah besar dan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Negeri Pahang untuk memperkasa kemajuan sukan berprestasi tinggi di negeri ini. – PAHANGMEDIA

