Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 14 NOVEMBER 2023 : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri Pahang bagi kerja-kerja naiktaraf pusat pemindahan kekal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di sini.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan kerja-kerja naiktaraf pusat pemindahan kekal merupakan salah satu persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
“Permintaan untuk pembinaan Pusat Pemindahan Kekal di SMK Seberang Temerloh, permintaannya adalah sebanyak RM3.3 juta tetapi kami merasakan bahawa ianya perlu dinaikkan taraf sebagai Pusat Pemindahan Kekal, kami telah meluluskan pada dasarnya daripada RM3.3 juta kepada RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di tapak Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Semantan, di sini hari ini.
Beliau berkata, perancangan jangka masa pendek semuanya telah diselesaikan dari segi kesiap siagaan hasil kerjasama kerajaan persekutuan melalui NADMA dan agensi-agensi yang lain manakala rancangan jangka masa sederhana dan jangka panjang berada dalam pelbagai peringkat proses pelaksanaan.
“Untuk pelan jangka masa sederhana, kita telah meluluskan peruntukan untuk baiki rumah yang terjejas akibat banjir, sebanyak RM5,100 (buah) rumah telah diperuntukkan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan RM66,000 bagi pelaksanaan pembinaan rumah baru mangsa banjir manakala kerajaan negeri memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM9,000 menjadikan jumlah sebuah rumah bernilai RM75,000.

“Keluasan (rumah) ditambah daripada piawaian biasa 700 kaki persegi kepada 1,000 kaki persegi, saya harap kerajaan-kerajaan lain akan ikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Pahang ini,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak KKDW juga turut melaksanakan pembinaan lima buah rumah penduduk yang terlibat dalam projek pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebagai persiapan tambahan menghadapi banjir, pihaknya akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk penggunaan trak dan lori yang berkapasiti lebih tinggi.
“Kita memerlukan trak-trak atau lori, sekarang digunakan untuk lima tan tetapi kita akan bekerjasama dengan ATM untuk memobilisasikan trak yang berkapasiti 10 tan ke atas,” katanya. – PAHANGMEDIA

