Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 14 NOVEMBER 2023 : Semua pihak termasuk agensi Kerajaan yang terlibat perlu berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka akan menyebabkan berlakunya bencana banjir di beberapa kawasan.
YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuklah
memastikan ketersediaan peralatan dan melaksanakan sistem amaran awal banjir sekali gus menjadikannya sebagai satu piawaian menghadapi banjir pada masa akan datang.
“Sewaktu saya menjadi Timbalan Perdana Menteri kali pertama dahulu, saya telah gunakan acuan Kemaman untuk dijadikan sebagai acuan bagi kesiap siagaan banjir di seluruh negara kerana MET dengan kerjasama pelbagai agensi telah dikoordinasikan, kita mesti memindahkan bakal mangsa banjir ini selewat-lewatnya tiga hari awal sebelum luruan hujan melebihi daripada tahap biasa.

“Tujuannnya supaya kita mahu mengelakkan daripada kehilangan nyawa, keduanya kita mahu harta benda yang berharga itu diselamatkan lebih awal dan ketiga dokumen-dokumen penting dapat juga diselamatkan.
“Kita harus menggerakkan jentera dan peralatan tanpa mengetepikan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di mana NGO harus digerakkan bersama-sama termasuk NGO kenderaan pacuan empat roda dan NGO kebajikan harus dikoordinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Sempena Lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri ke Temerloh di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), YB Dato’ Armizan Mohd Ali; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau turut menyarankan supaya semua pihak di dalam sektor perkhidmatan awam membantu menangani mangsa banjir yang bakal berlaku nanti.
“Di Temerloh ini mengikut rekod, biar pun hanya sepatutnya agensi-agensi tertentu yang terlibat di dalam menangani masalah banjir ini, tetapi di Temerloh hampir 100 peratus jabatan terlibat di dalam menangani dan menyantuni mangsa-mangsa banjir, syabas saya ucapkan,” katanya.
Beliau yang hadir ke Temerloh bagi menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah berkata daerah itu adalah antara daerah yang terbaik dari segi pengurusan bencana di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Pahang. – PAHANGMEDIA

