Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan agar Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) mengguna pakai modul yang diperkenalkan oleh Yayasan Pahang bagi mewujudkan Pra Tahfiz KEMAS.
Modul oleh Yayasan Pahang (YP) telah diperkenalkan dan digunapakai di semua 21 cawangan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) seluruh Pahang sejak tahun 2018.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, idea pengwujudan Pra Tahfiz KEMAS telah dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan mendapat saranan supaya menggunakan modul oleh YP bagi TTNP.
“Tuanku sendirilah yang telah menitahkan patik dan menyarankan agar menggunakan modul Yayasan Pahang ini untuk digunakan oleh KEMAS.
“Maka patik dan rakyat sekalian berdoa agar saranan dan titah tuanku itu akan memberikan sebagai pahala amal jariah untuk tuanku secara peribadi dan untuk rakyat Pahang keseluruhannya, InsyaAllah,” katanya.
Beliau berucap demikian sempeba Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Antara KEMAS dan Yayasan Pahang bagi melaksanakan Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS bertempat di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS, Kampung Seri Batu, Kuala Lumpur.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri KKDW, YB. Dato’ Hajah Rubiah Haji Wang, Ketua Setiausaha KKDW, YBhg. Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun, barisan Exco Kerajaan Pahang dan Ketua-Ketua Jabatan.
Majlis menandatangani MOA di antara KEMAS dan YP ini telah diwakili oleh Ketua Pengarah KEMAS, YH. Dato’ Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Ahli Lembaga Pengarah YP, YH Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Haji Abdul Jalil.
Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan Program Pra Tahfiz KEMAS dalam komponen Perkembangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Modul Pra Tahfiz KEMAS ini menyasarkan sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak mampu membaca dan menghafaz sehingga Surah Ad-dhuha.
Justeru, KEMAS meyasarkan seramai 100,000 kanak-kanak huffaz cilik dapat dilahirkan menjelang 2026. – PAHANGMEDIA