Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) di antara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Yayasan Pahang (YP).
Majlis yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Kampung Sri Batu, Kuala Lumpur ini turut disaksikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Penandatangan MOA di antara KEMAS dan YP ini telah diwakili oleh Ketua Pengarah KEMAS, YH. Dato’ Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Ahli Lembaga Pengarah YP, YH Dato’ Dr. Haji Ahmad Munawar Haji Abdul Jalil.
MOA di antara KEMAS dan YP ini bertujuan memeterai perjanjian bagi pelaksanaan Tabika Pra Tahfiz KEMAS dengan menggunapakai Modul Hafazan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) iaitu sebuah institusi prasekolah milik penuh Yayasan Pahang yang akan digunapakai di 100 Tabika Pra Tahfiz KEMAS sebagai Tabika Rintis bagi tahun 2023.
Pelaksanaan Tabika Pra Tahfiz KEMAS adalah sejajar dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 yang mensasarkan lebih ramai Huffaz di Malaysia dengan mengetengahkan konsep 7M iaitu Mengaji, Menghafaz, Membaca, Menulis, Mengira, Menaakul dan Manusiawi.
KEMAS mensasarkan 100,000 kanak-kanak khatam hafazan Juzuk 30 menjelang 2026 dengan pelaksanaan Modul Hafazan TTNP ke hampir 10,000 buah Tabika KEMAS seluruh Malaysia.
Modul Hafazan TTNP adalah sebuah produk keluaran YP yang digunapakai di 21 cawangannya sejak 2018 selepas KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menganugerahkan bangunan baginda di Pulau Serai, Pekan bagi menjalankan operasi TTNP cawangan yang pertama.
Modul ini telah dimanfaatkan kepada lebih 1,000 kanak-kanak dengan mensasarkan hafazan Juzuk 30 (Juzuk ‘Amma) dengan jumlah 38 surah dan dihafaz oleh kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun.
Kerajaan Pahang menerusi YP telah menyediakan akses lengkap pendidikan tahfiz untuk anak-anak Pahang bermula dengan Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP), Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang (SRTNP), Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) : Program Tahfiz Professional dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) : Program Tahfiz Turath (sekolah menengah) dan peringkat Diploma Darul Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA