Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 4 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM12.32 juta menerusi pelbagai inisiatif bagi pembangunan masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri sentiasa merancang bagi memastikan masyarakat itu tidak terpinggir daripada arus pembangunan di Pahang.
“Tumpuan yang lebih seharusnya diberikan kepada mereka sebagai contohnya anak-anak mereka yang belajar di IPTA atau IPTS tidak ada komputer, jadi Kerajaan Negeri bantu.
“Begitu juga masalah perumahan, kemudahan asas dan sebagainya dan Kerajaan Negeri akan memberi bantuan dan ekoran daripada itu kerajaan menubuhkan ORACO (Orang Asli Corporation) kerana kita tidak mahu bergantung semata-mata kepada JAKOA, jadi ada satu lagi agensi yang boleh membantu Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik FELDA Jengka 25 di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 25 di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan Kerajaan Negeri pada Majlis Penyampaian Komputer Riba Pahang Pride Orang Asli Dan Insentif Perkahwinan Pertama Orang Asli Tahun 2023 bertempat di Kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Bukit Seding, Dato’ Shariff, Kuala Krau di Temerloh.
Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli.
Pada majlis itu, seramai 22 pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) telah menerima komputer riba bagi memudahkan pembelajaran mereka.
Turut menerima insentif ialah tujuh pasangan pengantin buat kali pertama sebanyak RM300 bagi setiap pasangan.
Sebanyak RM750,000 penghargaan diperuntukkan di bawah insentif Pahang Pride Orang Asli sepanjang tahun 2023.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang sangat menitikberatkan kebajikan masyarakat Orang Asli dengan menubuhkan Orang Asli Corporation (ORACO).
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM7.5 juta bagi membina 100 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) pada 2023 dan akan ditambah kepada 120 unit pada tahun hadapan.
Manakala seramai 30,200 Orang Asli telah menerima Bantuan Bakul Makanan berjumlah RM1.51 juta. – PAHANGMEDIA