Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 4 NOVEMBER 2023 : Lebih 95 peratus peneroka FELDA di Pahang atau 40,861 orang telah menerima suratan hak milik tanah masing-masing.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, baki 2,265 peneroka sedang diusahakan dan Kerajaan Negeri akan mempercepatkan proses pemilikan bagi meningkatkan jumlah pemilikan tanah di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pahang telah pun memberi suratan hak milik kepada peneroka FELDA melebihi 95 peratus dan bakinya akan menyusul kemudian ada masalah teknikal yang perlu diselesaikan.
“Ini adalah usaha-usaha kerajaan yang kita buat secara berperingkat sejak dahulu tetapi tidak dapat dibuat sekaligus kerana ianya melibatkan banyak kerja seperti ukur kasar, ukur halus, waris pusaka dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik FELDA Jengka 25 di Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 25 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim, Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli dan barisan kepimpinan FELDA.
Pada majlis itu seramai 152 peneroka FELDA Jengka 25 menerima suratan hak milik masing-masing selepas menduduki tanah rancangan berkenaan sejak 37 tahun lalu pada 1986. – PAHANGMEDIA

