Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 04 NOVEMBER 2023 : Program Anak Muda Pahang Sayangi Bumi dapat memastikan golongan muda di negeri ini lebih memahami dan mengambil serius berkenaan kepentingan alam sekitar.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ia bagi memastikan alam sekitar dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Program anjuran Yayasan Pahang bersama Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang yang memilih Kampung Durian Sebatang sebagai destinasi program ini.
“Program ini dianjurkan di seluruh negeri Pahang di 14 parlimen yang kebanyakkannya (dijalankan) pada hari ini yang mana fokus program ini adalah bagi memberi kesedaran, kefahaman kepada anak muda supaya sentiasa cakna dan prihatin tentang usaha menjaga dan memulihara alam sekitar di seluruh Negeri Pahang ini.
“Kita nak anak muda betul-betul faham, betul-betul ambil serius tentang alam sekitar ini untuk kita wariskan alam ini kepada generasi kita yang akan datang, dan sebab itulah kita fokus kepada anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Anak Muda Pahang Sayangi Bumi di Masjid Kampung Durian Sebatang hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut menyatakan kesediaan mengadakan program yang sama di masa hadapan dengan penambahan lokasi memandangkan ia dilihat memberi impak yang besar namun ia bergantung kepada keperluan dan kedudukan kewangan.
Beliau dalam program yang sama turut menanam pokok jenis Sakura Malaysia (tabebuia pentaphylla sp.) sebagai simbolik program berkenaan.
Sebanyak 200 pokok terdiri daripada Sakura Malaysia dan pokok renek ditanam pada hari ini dengan kerjasama pelajar dari UiTM Raub, Giatmara, dan penduduk sekitar.
Selain program penanaman pokok, program yang dihadiri kira-kira 350 orang ini juga turut mengadakan gotong-royong membersihkan masjid dan kawasan sekitar selain terdapat pemeriksaan gigi dan juga pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. -PAHANGMEDIA