Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 31 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM7.8 juta sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijadualkan bermula November ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, setakat ini, segala persediaan membabitkan penghantaran barangan keperluan sudah dilakukan di 159 pangkalan hadapan.
Katanya, sebanyak 856 pusat pemindahan sementara (PPS) telah disediakan membabitkan balai raya, sekolah, masjid dan surau bagi kemudahan kepada mangsa banjir.

“Jadi untuk persiapan monsun insya-Allah kita tidak perlu bimbang melainkan terjadi perkara-perkara di luar jangkaan kita tetapi seperti kebiasaannya Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menanganinya.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana telah memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar untuk kita menghadapi Monsun Timur Laut yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Memacu Kehidupan Sentuhan Kasih Deepavali di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Hadir sama ialah Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, YBrs Encik M Ahmad Shazly Ramli dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Puan Siti Nor Hasma Mat Isa.
Pada majlis itu, Yayasan PETRONAS telah memberikan sumbangan kepada 100 keluarga B40 di Pahang membabitkan tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Bentong.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai yang berkemampuan agar dapat menghulurkan bantuan kepada masyarakat India yang memerlukan bagi menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi. – PAHANGMEDIA

