Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 OKTOBER 2023 : University College of Yayasan Pahang (UCYP) meraikan pelajar yang berjaya meraih anugerah berprestij universiti itu iaitu Anugerah Tuanku Canselor dan Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Menteri Besar Pahang di Hotel Zenith, hari ini.
Bagi penerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Menteri Besar Pahang (UCYP), Wan Nur Adlina Wan Mohd Azri, 23, fokus adalah tips utama untuk mencapai kejayaan.
Ujarnya lagi, beliau seorang yang gemar mencuba sesuatu yang baru di mana ianya dapat mencungkil lagi bakat disamping dapat menghilangkan stress.
“Saya seorang penari untuk universiti, saya juga salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), jika ceburkan diri dalam aktiviti luar kita akan mengenali lebih ramai orang, secara tidak langsung dapat mengasah lagi soft skill sedia ada,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu.
Beliau yang juga penerima Anugerah Dekan setiap semester juga mengakui agak sukar untuk mencapai kejayaan tersebut tetapi beliau amat komited dalam menguruskan masa.

Manakala bagi penerima Anugerah Tuanku Canselor, Mahendran Shilowaras, 26, beliau sempat berkongsi tips pengurusan masa sehingga berjaya mencapai CGPA 3.94 walaupun bergiat aktif dalam bidang bukan akademik.
“Saya biasa buat jadual untuk uruskan perjalanan masa saya kerana saya pegang banyak jawatan seperti Presiden MPP, jika saya tidak bijak urus (masa), keputusan akademik saya boleh jatuh,” kata anak sulung dari dua beradik itu.
Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian itu, beliau berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah dalam bidang Cyber Security atau Software Engineering di universiti tempatan tahun hadapan.
Dalam pada itu, beliau sempat meluahkan rasa gembira di atas pencapaiannya dan mengakui ianya hasil dorongan daripada ibunya yang merupakan seorang guru tadika.
“Ayah saya meninggal ketika umur saya 14 tahun, ibu saya yang menjaga dan memberi semangat untuk saya meruskan pengajian ke peringkat degree,” katanya lagi.
Jumlah keseluruhan graduan pada Istiadat Konvokesyen tersebut ialah seramai 836 orang melibatkan graduan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, dan Program Eksekutif & Profesional. – PAHANGMEDIA

