Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 5 OKTOBER 2023 : Barisan Nasional (BN) kekal tenang menghadapi tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh parti Perikatan Nasional.
Naib Presiden UMNO Malaysia, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Ibrahim Tuan Man yang menuduh BN menggunakan aset dan jentera kerajaan dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.36 Pelangai, adalah fitnah jahat semata-mata.
“Itu perkara biasa, daripada dulu lagi saya dengar tuduhan, bila setiap kali ada pilihan raya, itulah antara tuduhan-tuduhan yang mereka kemukakan, perkara ini tidak benar sama sekali, sebagai contohnya mereka mengatakan ada empat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) nak lompat, itu pun fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4 Tahun 2023, Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang dan Fajar Majestic Sdn Bhd Majlis Pelancaran dan Jualan Beras Makmur bertempat di Dataran Simpang Pelangai, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keterbukaannya untuk dipantau dan disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan tersebut.
“Tuduhan mengatakan guna aset dan sebagainya itu setiap kali menjelang pilihan raya mereka akan carilah perkara-perkara yang ingin mereka bangkitkan sebab mereka ketandusan isu, apa sahaja pun mereka akan cuba untuk mengelirukan rakyat, perkara yang tidak benar pun mereka boleh kata,” tegasnya. – PAHANGMEDIA

