Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 4 OKTOBER 2023 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) komited dalam pemeliharaan kawasan hutan sensitif seperti kawasan tadahan air masyarakat termasuklah kawasan Lata Layang-Layang di Kampung Pagi, Ulu Tembeling di Jerantut.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, JPNP akan mewartakan sebahagian kompartmen 9, 10, 24, 25 dan 28 Hutan Simpan Tekai Tembeling (Tambahan) yang terlibat dengan kawasan tadahan air masyarakat termasuklah kawasan hulu sungai.
“Walaubagaimanapun, JPNP akan mengkaji semula beberapa aspek terutama berkaitan maklumat sosial kawasan lesen pembalakan ini dan buat masa ini telah mengambil keputusan untuk menangguh sementara proses perlesenan bagi kawasan kelulusan lesen Yayasan Pahang ini bagi suatu tempoh,” menurut kenyataan itu.
Aktiviti pembalakan yang diluluskan kepada Yayasan Pahang tersebut adalah dilaksanakan secara “Selective Management System” (SMS) dan mengikut Kriteria Pensijilan Pengurusan Kayu Bulat Secara Berkekalan Bagi Hutan Darat Asli Di Hutan Simpanan Kekal [MC&I (SFM)].
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab aduan daripada seorang pengadu menerusi Facebook bertajuk “Sultan Bijaksana Vs Kerajaan Lembab – Pt 1: Hutan Tadahan Air Kg Pagi” pada 03 Oktober 2023 berkaitan kawasan tadahan air masyarakat di dalam Hutan Simpan Tekai Tembeling (Tambahan).
Bagi menjawab dakwaan tersebut, JPNP berkata, kawasan kelulusan pembalakan yang terletak berhampiran kawasan tadahan air tersebut tidak akan memberi kesan secara langsung kerana kedua-dua kawasan di pisahkan dengan satu permatang.
“Isu ini mungkin dibangkitkan semula oleh Pengadu disebabkan mendapat maklumat bahawa aktiviti pembalakan dalam proses untuk memulakan kerja tidak lama lagi dimana semakan mendapati pelesen hanya menunggu dokumen lesen daripada JPNP sebelum aktiviti di kawasan lesen tersebut dapat dijalankan.
“Tambahan pula tiada maklumat terkini berkaitan pewartaan Hutan Tadahan Air bagi kawasan yang diperjuangkan oleh mereka,” menurut kenyataan tersebut. – PAHANGMEDIA

