Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 1 OKTOBER 2023 : Belia di Negeri Pahang khasnya disarankan supaya mengambil bahagian dalam arena politik demi masa hadapan belia itu sendiri.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, belia seharusnya perlu mengambil tahu mengenai politik dalam usaha untuk membentuk kehidupan yang lebih baik.
“Alhamdulillah, anak muda di sini mengambil bahagian dalam aktiviti dan juga kegiatan politik, mengambil tahu, mungkin saya rasa mereka sedar bahawa politik ini boleh mengubah keadaan kehidupan mereka di sini dari segi pembangunan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media pada Karnival Sukan Rakyat di Kampung Shafie, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga berkata generasi belia masa kini perlu sentiasa cakna mengenai isu-isu politik sekali gus boleh bergiat secara tidak langsung dalam menyumbang buah fikiran.
“Saya bila berjumpa dengan anak muda ni termasuk belia memang saya suruh libatkan diri dalam politik, bukan parti politik, tetapi politik, supaya mereka mengambil tahu.
“Orang-orang politik ini sebenarnya membuat dasar dan polisi dan bila mereka terlibat maknanya mereka boleh menyumbang pandangan dan idea berkenaan dengan masa depan mereka itu sendiri, tidak semestinya kena terlibat dengan kegiatan parti politik, apatah lagi bila berlaku PRK (Pilihan Raya Kecil) seperti ini,” katanya ketika diminta mengulas berhubung penerimaan belia terhadap Barisan Nasional bagi PRK DUN N.36 Pelangai. – PAHANGMEDIA