Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 29 SEPTEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet pelayaran Pahang, Cik Nur Shazrin Mohammad Latif.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baginda bertitah, Cik Nur Shazrin yang merupakan anak kelahiran Pahang telah menyumbang pingat emas pertama negara menerusi acara Pelayaran ILCA6 Wanita dalam temasya Sukan Asia Ke-19 Hangzhou 2022.
Baginda turut menyatakan rasa bangga di atas kejayaan yang dicapai oleh Cik Nur Shazrin yang mula mewakili pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang sejak tahun 2012 sehingga beliau tersenarai dalam pasukan Kebangsaan pada tahun 2017.
Baginda turut menzahirkan tahniah kepada Cik Nur Shazrin yang seterusnya melakar sejarah apabila layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit.
KDYMM Pemangku Raja Pahang berharap semoga kemenangan yang dikecapi Cik Nur Shazrin dapat menyuntik semangat kepada atlet-atlet negara untuk terus berusaha gigih bagi menambah pungutan pingat Kontinjen Negara dalam temasya Sukan Asia Ke-19 Hangzhou 2022.
Temasya ini telah berlangsung pada 23 September lalu dan akan berakhir pada 8 Oktober depan.
Malaysia telah diwakili 288 atlet dengan 188 atlet lelaki dan 100 atlet wanita yang akan menyertai 22 daripada 40 sukan dengan sasaran 27 pingat.
Sukan Asia Hangzhou mencatat sejarah sebagai Sukan Asia dengan penyertaan terbesar seramai 11,831 atlet dari 45 negara dirasmikan oleh Presiden China, Xi Jinping selepas setahun ditangguhkan ekoran penularan wabak COVID-19. – PAHANGMEDIA

