BENTONG, 29 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang optimis mampu mengutip hasil tanah lebih RM700 juta pada tahun ini selepas pelaksanaan beberapa program termasuk Karnival Tanah Pahang.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, sumbangan cukai tanah ini cukup besar mewakili iaitu melebihi 70 peratus daripada hasil keseluruhan Kerajaan Negeri Pahang.
“Tahun lalu sumbangan hasil tanah ini kira-kira RM700 juta dan saya optimis sumbangan ini akan mencecah angka lebih RM700 juta juga pada tahun ini, kita doakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Tanah Pahang peringkat Daerah Bentong di Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen; Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, YH Dato’ Hamdan Hussin dan Pegawai Daerah Bentong YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail.
Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah PTG Pahang melaksanakan karnival ini dalam memberi kesedaran kepada orang ramai untuk membayar cukai tanah.
“Saya dimaklumkan, setakat ini jumlah kutipan hasil tanah pada program ini secara tunai adalah berjumlah RM914,835. Ini satu angka yang cukup besar, belum jam 12 tengah hari lagi,” katanya.
Beliau berharap karnival ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat yang bukan sahaja untuk mengutip hasil tetapi juga hal-hal lain mengenai tanah di seluruh Pahang.
“Jadi orang ramai boleh dapat penerangan terus dari kaunter yang dibuka semasa karnival ini berlangsung. Ambillah peluang ini untuk tahu dan selesaikan isu tanah,” katanya. – PAHANGMEDIA

