Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 14 SEPTEMBER 2023 : “Selalu Allahyarham Dato’ Sri datang tengok suami kalau dia turun ke kawasan,” kongsi Puan Nor Hayati M. Amir, 39, isteri kepada Encik Zulazhar Che Kob, 43, yang diserang angin ahmar sejak tiga tahun lepas.
Menurut Puan Nor Hayati, Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun juga sering bertanya khabar suaminya selain menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga.
“Allahyarham orang yang baik, selalu tolong orang-orang sini, selalu sangatlah. Kalau ada hal apa-apa, kita cakap je, dia akan tolong. Dia tolong kami pun dah lama dah, sejak abang (suami) sakit. Dia tahu abang sakit, banyaklah dia tolong.
“Kalau dari segi perubatan, dia akan bagi dari segi kewangan sebab saya kena ulang-alik ke Kuantan ke hospital, dialah yang banyak tolong,” kongsinya lagi.
Puan Nor Hayati berkata dia dan suami tidak dapat menggambarkan rasa terkejut dan sedih di atas pemergian Allahyarham.
“Rasa macam, sedih rasa tapi itulah, nak cakap tak tahu, nak gambarkan macam mana. Terkejut juga waktu tahu tu (pemergian allahyarham), orang yang banyak tolong kita.
“Dia kalau datang sini, dia selalu bagi nasihat, pesan cepat baik. Dia kerap datang sini, rumah ni. Kalau dia datang ke balairaya, dia akan singgah,” katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lembah Jaya di sini.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina dalam insiden 2.40 petang 17 Ogos lepas. – PAHANGMEDIA