Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 SEPTEMBER 2023 : Latihan simulasi bencana di kawasan yang sangat berisiko seperti pelabuhan mampu memberi gambaran awal dalam menyusun atur strategi penyelamatan sekiranya berlaku bencana.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, YS. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, latihan sedemikian juga dapat mengkoordinasi kepakaran, keanggotaan serta logistik antara agensi yang ada di peringkat daerah mahupun negeri.
“Umum mengetahui, apabila berlakunya sesuatu bencana, mekanisme pengurusan bencana telah pun wujud sekian lama melalui jawatankuasa yang akan dibentuk seterusnya menguruskan perjalanan pengoperasian sehinggalah pengungcupan bencana berlaku.
“Justeru, agenda latihan ini mampu juga memberi gambaran awal dalam menyusun atur strategi penyelamatan, pelaporan dan komunikasi secara seragam dari pelbagai agensi.
“Selain itu, latihan seumpama ini juga berobjektif mengenalpasti sumber manusia dan sumber logistik yang boleh digembleng semasa bencana selain bertujuan mewujudkan koordinasi perintah dan kawalan semasa operasi di pengkalan hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Latihan Pengurusan Bencana Pelbagai Agensi (D-MEX) Gebeng 2023 Negeri Pahang di Pelabuhan Kuantan hari ini.
Turut hadir, Ketua Keselamatan Kesihatan dan Alam Sekitar Petronas Chemicals MTBE Sdn. Bhd. merangkap Setiausaha Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA), YBhg. Tuan Haji Mohd Robi Mohd Nor; Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu; dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuantan, Encik Azlan Che Adnan.
Beliau berkata lokasi latihan di kawasan perindustrian Gebeng dipilih berdasarkan ia merupakan diantara kawasan yang sangat berisiko jika berlakunya sesuatu bencana.
“Latihan hari ini menumpukan beberapa senario kejadian yang berisiko berlaku termasuklah di kawasan ini. Antaranya adalah senario kebakaran kontena, insiden melibatkan tumpahan bahan kimia yang memerlukan penglibatan pasukan Hazmat, senario kemalangan jalan raya, penyelamatan di air serta senario penyelamatan melalui udara ataupun medevec.
“Kesemua bentuk senario yang dirangka ini adalah berskala bencana yang memerlukan penglibatan pelbagai agensi. Aspek pengurusan dan pengoperasian jawatankuasa yang dibentuk akan diuji melalui “injection” oleh urusetia seterusnya akan dinilai oleh “observer” yang dilantik.
“Saya juga yakin melalui latihan ini, satu pelan komunikasi yang lebih efisyen, pantas serta berkesan dapat dirangka dalam penyaluran maklumat yang tepat sewaktu bencana berlaku,” katanya.
Tambah beliau lagi, latihan ini juga menepati masa bantuan tiba yang digariskan Indeks Prestasi Utama (KPI) iaitu di bawah 10 minit dan tahap kesiapsiagaan berada di tahap terbaik.
“Pada dasarnya kalau kita tengok secara keseluruhannya kesiapsiagaan mereka adalah terbaik. Yang mana apabila berlakunya satu tindakan, kita memerlukan bantuan, ia dapat diberi dengan cepat.
“Selain itu, kita juga mempunyai satu persatuan GEMA (Gebeng Emergency Mutual Aid) melibatkan 26 syarikat, jadi kita merangkakan bagaimana bila berlaku bencana kita boleh dapat sumber bantuan dengan mudah selain bantuan seperti tenaga manusia, logistik, bahan pemadaman dan sebagainya.
“Dan latihan untuk GEMA ini kita buat secara berkala dan kita telah minta mereka kerapkan latihan mungkin sekurang-kurangnya setahun dua kali supaya kerjasama itu dapat dilaksanakan dengan mudah,” katanya.
Seramai 400 peserta daripada 20 agensi terlibat dalam Sesi Latihan Pengurusan Bencana Pelbagai Agensi, (D-Mex) Gebeng 2023 peringkat daerah Kuantan yang dijalanakan hari ini. -PAHANGMEDIA

