Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 12 SEPTEMBER 2023 : “Syukur Alhamdulillah kepada Kerajaan Negeri Pahang sebab bagi rumah ini,” itu kata penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Semerting di sini.
Pasangan Encik Shamsul Bujang,42, dan Puan Rafidah Ayu Baharuddin, 35, berkata mereka merasa sangat gembira ketika menerima kunci rumah daripada Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
“Sebelum ini duduk dekat rumah mak, berlima termasuk dengan emak. Emak pun ibu tunggal. Masa arwah Dato’ datang bagi kunci (rumah) dia pesan suruh duduk rumah ni, lepas tu dia ada bagi sumbangan tikar getah.
“Masa datang tu, lama juga. Dia melawat dalam rumah, tengok apa semua, lepas tu dia tanam pokok mempelam dan dia pesan suruh jaga pokok ni,” kongsi pasangan yang berasal dari Kampung Semerting tersebut.

Pasangan tersebut juga mengucapkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail diatas pemberian rumah RRP berkenaan.
“Terima kasih kepada Dato’ Jo (Johari), Menteri Besar Pahang, Ketua Kampung Semerting dan semua yang terlibat (memberi bantuan rumah RRP) terima kasih,” kata Puan Rafidah Ayu.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina dalam insiden pada 17 Ogos lepas.
Beliau telah menyerahkan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) pertama di Kampung Semerting pada 8 Julai lepas selain menyempurnakan gimik penanaman pokok daripada Jabatan Pertanian Daerah Bentong. – PAHANGMEDIA

