Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 12 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang mengumumkan pertambahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa/Siswi kepada RM400 seorang pada tahun 2024 berbanding RM300 pada tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertambahan ini dibuat sejak ia dilaksanakan pada 2022 kerana pertambahan kos perbelanjaan pengajian para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Untuk makluman hadirin semua, Bantuan Siswa ini kita telah mulakan pada tahun lepas dengan RM200 bagi setiap mahasiswa dan mahasiswi daripada Negeri Pahang.
“Dan pada tahun ini kita naikkan daripada RM200 kepada RM300 sebab kita tahu kos anak-anak kita yang belajar di universiti semakin meningkat.
“Saya telah mengumumkan Bantuan Mahasiswa Mahasiswi ini untuk tahun depan kita naikkan daripada RM300 kepada RM400,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Agihan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa Insentif Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul di Bentong.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen, barisan Exco Kerajaan Pahang, Pengarah Setara Unit Perancangan, Operasi dan Data Strategik Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Wan Salman Wan Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, YH. Dato’ Rose Shamsul Abdul Razak.
Pada Majlis Agihan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa itu, seramai 126 mahasiswa dan mahasiswi anak Pahang telah menerima RM300 seorang dengan jumlah keseluruhan RM37,800.
Dalam pada itu, Kerajaan Pahang juga telah mengumumkan pertambahan BPP Jemaah Haji daripada RM500 pada tahun ini kepada RM750 pada tahun 2024.
Semua pertambahan bantuan BPP ini bertujuan membantu golongan sasar dalam menunaikan ibadah haji dan tanggungjawab dalam menuntut ilmu. – PAHANGMEDIA

