Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Bantuan Jemaah Haji yang julung kali diperkenalkan oleh Kerajaan Pahang pada tahun ini akan ditambah daripada RM500 kepada RM750 pada tahun hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif yang baru diperkenalkan ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri masih terus berupaya untuk menjaga kebajikan rakyat menerusi beberapa bentuk bantuan dan juga inisiatif serta Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di mana pada tahun ini kita memperuntukkan sebanyak RM42.4 juta.
“Begitu juga dengan program-program kebajikan seperti Pahang Pride Kid, Pahang Pride Kasih, Pahang Pride Student, Pahang Pride Orang Asli, Pahang Pride Athlete serta Pahang Pride Achiever di mana semua ini diwujudkan untuk memberi galakan serta kemudahan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, segala bantuan yang kita hulurkan ini adalah kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit, latar belakang mahu pun fahaman politik. – PAHANGMEDIA

