KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG LAHIR RASA GEMBIRA PELAKSANAAN RUMAH RAKYAT PAHANG
Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 08 MEI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riβayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa gembira dengan pelaksanaan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberi percuma kepada rakyat yang layak dan memerlukan.
Justeru itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang mahu inisiatif ini dapat diteruskan dan bilangan kelulusan RRP dapat ditambah lagi.
“Saya amat gembira dengan pelaksanaan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) sejak tahun 2020 sehingga hari ini yang diberikan secara percuma kepada rakyat yang layak dan memerlukan. Saya mahu inisiatif ini diteruskan dan bilangan kelulusan Rumah Rakyat Pahang dapat ditambah lagi,β titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sehubungan itu baginda bertitah, pemerkasaan wanita menjadi agenda penting di negeri ini dan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak terlibat.
“Kita sedia maklum bahawa wanita Malaysia telah banyak mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Justeru agenda pemerkasaan wanjta di negeri saya sudah tentu menjadi salah satu agenda penting kerajaan dan memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.
βSaya menyokong langkah kerajaan saya dalam menggubal dasar wanita Pahang seterusnya mewujudkan pelan tindakan bagi memastikan dasar ini dapat mencapai matlamatnya,β titah baginda.
Baginda juga turut menzahirkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang diatas penubuhan Majlis Penasihat OKU (Orang Kurang Upaya) Negeri Pahang.
βPembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak boleh dilupakan. Golongan OKU perlu sentiasa mendapat perhatian istimewa daripada Kerajaan Negeri. Begitu juga dengan masyarakat Orang Asli kebajikan mereka juga hendaklah sentiasa terjaga.
βDalam hal ini saya telah berkenan agar Majlis Penasihat Orang Asli Negeri Pahang ditubuhkan supaya dapat menjadi platform bagi pembangunan Orang Asli di Negeri Pahang,β titah baginda. – PAHANGMEDIA
